MagzNetwork

Segala puji-pujian hanya bagi Allah SWT jua selawat serta salam ke atas baginda nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat dan taabiin sekalian.

Maahad Tahfiz Al-Quran Ummal Qura Malaysia diwujudkan di kawasan pedalaman di mana flora dan faunanya belum terusik dan ditemani pinggiran sungai yang sungguh istimewa yang sangat-sangat diperlukan oleh seorang ahli Al-Quran bagi melahirkan hafizoh cemerlang. Terletak di kawasan yang damai No. 8, Kampung Alor Nibong, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman. Adalah menjadi cita-cita dan iltizam kami bagi menghidupkan kembali Ulum Al-Quran serta menambah bilangan hafizoh-hafizoh yang dapat berbakti kepada agama, masyarakat dan negara. Di samping itu, dengan usaha seperti ini akan terlaksanalah kewajipan yang dituntut oleh agama Islam bagi memelihara kesucian dan keaslian Al-Quran daripada penyelewengan musuh-musuh Islam. Di atas kesungguhan kami dan sokongan anda sekalian, kami yakin kita boleh melihat bakal ibu-ibu yang bertakwa bagi mendidik dan melahirkan anak-anak soleh-solehah demi merealisasikan masyarakat madani untuk masa hadapan agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai dustur hidup manusia. Panduan daripada Allah SWT melalui Al-Quran adalah tetap dan tidak berubah sejak dahulu, sekarang dan akan datang sesuai dengan segala masa. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, Jibril a.s. datang kepada baginda meminta baginda membaca, mengingatinya dari masa ke semasa. Terbukti baginda berjaya menjaganya dengan baik sehingga ke akhir hayatnya. Demikian juga pada zaman sahabat Tabi-tabiin hingga ke hari ini menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam untuk menghafal Al-Quran.

Di Malaysia telah wujud sebuah Maahad Tahfiz Al-Quran di Masjid Negara. Ia adalah di antara Maahad Tahfiz yang terawal ditubuhkan pada tahun 1966 oleh Jabatan Perdana Menteri atas inisiatif yang teramat mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas ruh beliau.

Dengan izin Allah SWT dapatlah dibangunkan sebuah madrasah yang kecil ini untuk para hafizoh yang telah lama dicita-citakan oleh ibu bapa mereka yang ingin anak-anak perempuan mereka yang menghafal Al-Quran seperti anak lelaki yang telah lama berpeluang belajar menghafal Al-Quran di madrasah-madrasah yang ada yang kebanyakan dikhaskan kepada anak lelaki sahaja. Dengan adanya madrasah yang kecil ini kelak akan dapat membentuk sebuah masyarakat Al-Quran. Di samping menghafal dan memperdalamkan Ulum Al-Quran sekaligus mempelajari ilmu tajwid dan pelajaran agama seperti tafsir, hadis, feqah, tauhid, tasawuf, sirah dan bahasa Arab serta lain-lain dengan cara mendidik akhlak yang mulia kearah ketaqwaan kepada Allah SWT sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Kini kita sedang berusaha memperluaskan skop pengajiannya kepada orang-orang dewasa, sekaligus menyediakan pondok yang disebut “Pondok Moden”.

Moga-moga mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat nanti.

Amin Ya Rabbalalamin.

BERILMU, BERAMAL, BERTAQWA